by Nor Shazleza Shahril
RANTAU PANJANG | Sekumpulan penyeludup melarikan diri serta meninggalkan pelbagai haiwan eksotik seludup bernilai RM67,600 di tebing Sungai Golok berdekatan pangkalan haram Bilah Dollah, di sini, semalam.
Semua suspek bertindak sedemikian selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan meninggalkan kotak berisi 206 katak, 50 labi-labi, 24 anak ular, tiga burung kakak tua dan seekor iguana.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata dalam kejadian jam 7 malam itu, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sekumpulan lelaki sedang mengangkat kotak dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota kemudian mendekati kumpulan berkenaan, namun semua mereka bertindak melarikan diri dengan menggunakan perahu ke negara jiran serta meninggalkan kotak terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut, semua haiwan eksotik itu disyaki untuk pasaran tempatan. Haiwan berkenaan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, memburu atau menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Nor Azizan berkata, pelaku yang melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
“Selain itu, rampasan haiwan eksotik ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.