KOTA BHARU | Sebanyak 37,224 operasi sanitasi awam yang dilakukan di seluruh negara sehingga semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, operasi itu dicatatkan sejak Mac tahun lalu.
Katanya, operasi sanitasi itu membabitkan 24,000 premis termasuk bangunan.
“Operasi sanitasi dijalankan secara berterusan untuk kerja pembersihan membasmi kuman. Kita dapati sekarang ini varian delta dan jangkitan melalui udara, jadi beberapa alasan ini yang kita harus laksanakan sanitasi.
“Kalau tempat-tempat seperti sekolah, hospital dan jabatan kerajaan yang mempunyai kes positif Covid-19 yang minta disanitasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) datang untuk sanitasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.
Beliau berkata, KPKT mengambil pendekatan bahawa sanitasi awam ini adalah satu usaha untuk pembersihan daripada kuman-kuman dan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kita harus bersikap positif dan membuat sanitasi awam ini mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya.