Oleh Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Seramai 75 pengamal media Kelantan menerima durian dan rambutan secara percuma dianggarkan berjumlah dua tan diagihkan kepada mereka di sini, hari ini.
Durian dan rambutan itu hasil sumbangan daripada pekebun durian melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanas Jedok, Tanah Merah.
Pengerusi PPK Lanas Jedok, Zulkifli Yunus berkata, sumbangan durian dan rambutan itu sebagai menghargai peranan yang dimainkan media negeri ini dalam membantu mengetengahkan isu dan masalah dihadapi pemilik kebun yang terjejas dari segi pendapatan berikuran kejatuhan harga raja buah musim ini.
“Peranan media amat besar dalam membantu isu pemasaran durian berikutan lambakan raja buah dan kejatuhan harga jualan di pasaran tempatan berbanding tahun sebelumnya.
“Kesan kejatuhan harga durian cukup dirasai oleh pemilik kebun dari Tanah Merah dan Jeli kerana mereka terpaksa menjual dengan harga murah kepada pemborong,” katanya yang menyerahkan sumbangan durian dan rambutan kepada media Kelantan di sini, hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada media negeri ini yang mengetengahkan masalah pemasaran dan lambakan buah-buahan tempatan.
Katanya, pihak PPK Lanas Jedok hanya menjadi pengantara dalam membantu dan mengetengahkan isu yang dihadapi pekebun buah untuk diselesaikan oleh jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.
Sehubungan itu katanya, pihaknya memahami masalah dihadapi pekebun yang turut menjadi ahli kepada PPK Lanas Jedok berhubung isu lambakan buah-buahan tempatan.
“Kami hargai setiap laporan berita yang dilaporkan media negeri ini dalam membantu pekebun supaya isu lambakan hasil buah-buahan dapat ditangani dengan lebih berkesan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Shahnun Haniff Abdullah Suhaimi turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh pekebun di kawasan Lanas Jedok yang menyediakan dua tan durian dan rambutan kepada pengamal media negeri ini.
Katanya, agihan durian dan rambutan secara percuma itu memberi peluang kepada media menikmati keenakan durian kampung daripada kawasan Jeli dan Tanah Merah.
“Saya bagi pihak media Kelantan mengucapkan terima kasih kepada pekebun dari Lanas Jedok yang menyediakan durian dan rambutan secara percuma kepada kami,” katanya.