By Nik Amir
KOTA BHARU | Sarawak United FC tidak berdepan masalah apabila menewaskan Kelantan FC 3-1 pada saingan Liga Premier yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam tadi.
Skuad kendalian E Elavarasan menikmati kemenangan cukup bermakna kerana buat pertama kali mereka beraksi di gelanggang rasmi di Kuching setelah terpaksa berkelana dengan menggunakan stadium di semenanjung sejak awal musim ini.
Kemenangan itu juga mencerahkan peluang Sarawak United FC dalam pemburuan slot ke Liga Super apabila mengumpul 27 mata untuk mengekori rapat dua pasukan di tangga teratas iaitu pendahulu liga, Negeri Sembilan FC (29 mata) dan Terengganu FC II (28 mata).
Sementara bagi Kelantan FC, kekalahan malam tadi merupakan kali ketiga berturut-turut dan menolak kelab itu ke tangga kelapan setelah hanya mampu mengutip 18 mata.
Tuan rumah hanya memerlukan lima minit untuk berada di depan apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan salah seorang pemain Kelantan FC di dalam kotak penalti.
Penyerang import Nigeria, Uche Agba mudah menyempurnakan sepakan tersebut sekali gus menewaskan Mohd Farizuean Kamaruddin di gawangnya.
Enam minit berselang, skuad The Golden Hornbill terus mengukuhkan kedudukan apabila pertahanan import mereka, Taylor Regan menanduk masuk gol kedua berpunca sepakan sudut dilakukan Lee Chang-hoon.
Pelawat yang dikejutkan dengan dua gol tersebut hampir merapatkan jurang tetapi penjaga gol Sarawak United FC, Mohd Sharbinee Allawee Ramli bertindak cemerlang menafikan sepakan percuma dilakukan Mario Arques, pada minit ke-13.
Anak buah Elavarasan sepatutnya boleh berpesta gol apabila memiliki dua peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan tetapi percubaan Sandro Da Silva Mendonca pada minit ke-20 diselamatkan pertahanan lawan di atas garisan gol manakala rembatan Nur Shamie Iszuan Amin empat minit selepas itu digagalkan Mohd Faridzuean.
Sebaliknya, Kelantan FC bangkit menjadikan kedudukan 2-1 apabila Nurshamil Abd Ghani tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-32 setelah berlaku kekasaran ke atas rakan sepasukannya didepan pintu gol tuan rumah sebelum itu.
Pelawat terus mengasak untuk memburu gol penyamaan tetapi percubaan Mohd Haziq Subri tersasar pada minit ke-41 sementara rembatan Agba selepas menerima hantaran daripada Christie Jayaseelan gagal menerjah jaring, dua minit kemudian.
Aksi babak kedua memperlihatkan penguasaan mutlak milik tuan rumah apabila bertali arus melancarkan serangan namun dua peluang keemasan mereka gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Da Silva Mendonca mencipta gerakan menarik bersama Agba pada minit ke-56 tetapi berjaya dipatahkan pertahanan pelawat disusuli Agba sekali lagi gagal menyambar bola hantaran rakannya di depan pintu gol, pada minit ke-65.
Bagaimanapun, Agba yang pernah menyarung jersi Melaka United FC musim lalu menebus kekecewaan itu apabila memanfaatkan kebijaksanaan Chang-hoon yang melepasi perangkap ofsaid dengan menolak masuk gol ketiga, empat minit kemudian.
Tuan rumah memperoleh tiga peluang terbaik untuk meraih kemenangan besar tetapi percubaan pemain gantian, Muhammad Gopi Rizqi Rama Candra pada minit ke-85 dipatahkan pertahanan lawan disusuli tampanan Agba turut tersasar seminit selepas itu.
Sepakan bebas dilakukan Da Silva Mendonca yang hanya sedikit melepasi palang dalam masa tambahan babak kedua menutup tirai kemenangan 3-1 pasukannya dalam perlawanan tersebut.