PASIR MAS | Semua pihak diminta untuk memberi tumpuan bagi menangani pandemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara yang penting sekarang adalah untuk memastikan krisis kesihatan dan ekonomi dapat ditangani dengan baik.
Beliau meminta semua pihak menghentikan sebarang kenyataan politik yang boleh mengelirukan rakyat.
“Sekiranya ada pihak yang mengatakan mereka mempunyai majoriti sokongan, ia akan dibuktikan di Parlimen pada September nanti.
“Kita mengambil maklum dengan kenyataan pelbagai pihak yang menyebabkan rakyat keliru. Semua ini akan dibuktikan di Parlimen menerusi usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.
“Sebulan saja lagi dan Ahli Parlimen akan menentukannya nanti. Jadi, sementara itu, kita berharap semua pihak redakanlah isu berkenaan dan hentikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja di Projek Pelaksanaan Segera Runtuhan Tebing di Kampung Pohon Celagi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata rakyat kini mengharapkan kerajaan terus memberi tumpuan menguruskan isu COVID-19.