KOTA BHARU | Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), berkuat kuasa serta merta.
Katanya, beliau sudah memaklumkan peletakan jawatan itu kepada Pengerusi KESEDAR, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, semalam.
Katanya, surat peletakan jawatan akan dihantar sebelum Khamis ini.
“Insya-Allah surat perletakan jawatan akan dihantar sebelum Khamis. Pengerusi KESEDAR juga menerima baik peletakan jawatan ini dan memahami kemelut yang dihadapi.
“Keputusan ini dibuat dengan kerelaan saya sendiri tanpa dipengaruhi pihak lain.
“Malah, saya menyifatkan kenyataan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah langkah tepat,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri, di sini, hari ini.
Terdahulu, beberapa pimpinan UMNO meletak jawatan termasuk jawatan menteri dan jawatan dalam agensi-agensi berkait kerajaan.
Antaranya Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Mohd Bakri berkata, keputusan untuk meletakkan jawatan adalah keputusan berat memandangkan sudah setahun beliau menggalas jawatan itu.