KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia hari ini.
Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah Siti Sarah yang berjuang melawan penyakit COVID-19 selepas keluarga itu mengesahkan mereka positif COVID-19 pada 29 Julai lalu.
Rasa sedih berkenaan dikongsikan menerusi facebook Istana Negara yang turut mendapat perhatian netizen dengan mendoakan kebaikan kepada arwah bintang seni tanah air itu.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” titah ucapan takziah Baginda hari ini.
Pada jam 5.13 pagi tadi, Siti Sarah,36, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat COVID-19.
Jenazah isteri Shuib Sepahtu itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, jam 1.20 tengah hari tadi.
Terdahulu, jenazah melalui proses tayammum dan disolatkan di hospital berkenaan, kira-kira jam 10 pagi.
Allahyarham Siti Sarah dikebumikan di tanah perkuburan yang turut disemadikan ibunya, Allahyarham Nur Aini Mohamad yang meninggal dunia pada 26 Jun 2013 akibat komplikasi pelbagai penyakit.
Proses pengebumian dikendalikan Shuib Sepahtu yang mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) bersama petugas lain.