KUALA LUMPUR | “Bagaimana agaknya perasaan anda bila mendapat tahu ada sebuah keluarga (ibu dan 4 orang anak kecil) berkongsi mi segera untuk mengisi perut yang lapar?,” tulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Mendapat tahu kesusahan yang dialami ibu bersama lima anak kecil termasuk bayi yang berusia dua minggu, beliau tampil memberi sumbangan.
Katanya, beliau bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Setiausaha MAIWP dan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP singgah ke PPR Gombak Setia untuk bertemu ibu berkenaan yang hanya dikenali sebagai Farah (bukan nama sebenar).
“Ibu itu tinggal bersama 5 anaknya yang berusia 6 tahun, 4 tahun, 3 tahun, 2 tahun dan 2 minggu. Suaminya telah ditahan kerana menagih dadah.
“Alhamdulillah, MAIWP telah luluskan beberapa skim bantuan kepada wanita berkenaan, di samping wang tunai.
“Gembira anak-anaknya dapat merasa susu formula yang lebih sesuai dan berkhasiat. Saya doakan semoga wanita itu terus tabah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, MAIWP dan para pembayar zakat sentiasa ada bersama-sama wanita itu. Insya-Allah anak-anak itu semua akan berjaya.