PUTRAJAYA | Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kelonggaran kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap melegakan penggiat industri pelancongan domestik.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia merupakan langkah awal yang dapat memberi kelegaan kepada penggiat industri yang sudah lama terjejas.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merakamkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan atas pengumuman khas berhubung kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap. Pelaksanaan ini akan bermula pada 10 Ogos 2021.
“Berdasarkan pengumuman tersebut, ianya dapat memberi manfaat kepada penggiat industri pelancongan yang berada dalam negeri-negeri yang telah beralih kepada Fasa 2 dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan adalah melibatkan homestay dan hotel bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.
Katanya, pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
“Pembukaan sektor pelancongan domestik yang dibuat secara berperingkat mengikut fasa ini dapat memberikan sinar buat penggiat industri pelancongan selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan oleh MOTAC.
“MOTAC juga yakin dan percaya bahawa pihak kerajaan akan sentiasa memikirkan kaedah dan cara yang terbaik bagi memulihkan keseluruhan aktiviti pelancongan termasuklah juga aktiviti keseniaan dan kebudayaan yang akan dipertimbangkan untuk dibuka secara berperingkat dengan persediaan rapi,” katanya.
Nancy berkata, kelonggaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan suntikan semangat kepada semua pihak yang terlibat bagi merancakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.
Katanya, secara tidak langsung ianya juga dapat meningkatkan keyakinan masyarakat yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk menyokong aktiviti pelancongan domestik.
“Bersamalah kita memanfaatkan kemudahan yang diberikan ini dengan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
MOTAC menyeru kepada orang ramai yang akan memulakan aktiviti pelancongan di kawasan yang dibenarkan agar melanconglah dengan selamat,” katanya.