MACHANG | Seorang isteri hanya mampu merintih, memohon doa ke hadrat Ilahi agar suaminya yang menderita akibat sakit jantung dan buah pinggang segera sembuh.
Rogayah Deraman dari Kampung Pauh Lima, Pulai Chondong, Machang sering berdoa mengharapkan agar suaminya Mohd Nazri Hussain 55, akan sembuh dan pulih seperti sediakala.
Rogayah berkata, suaminya yang sebelum ini bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Pangkal Gong tidak dapat lagi bekerja sejak setahun lalu selepas disahkan menghidap masalah jantung dan buah pinggang.
“Doakan suami akak. Kini dia dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak seminggu lalu.
“Sekarang kami 6 beranak bergantung sepenuhnya pada bantuan JKM dan Perkeso untuk segala keperluan termasuk makan minum keluarga dan kos keperluan suami seperti lampin dan susu khas,” katanya.
Ibu lima anak berusia 16 hingga 23 tahun itu juga turut risau memikirkan kos bil hospital yang terpaksa dibayar mereka selepas ini.
Untuk masa ini, Rogayah dan dua anak perempuannya terpaksa menumpang di rumah anak saudaranya di Pengkalan Chepa bagi mengurangkan kos ulang alik untuk menjenguk suami di HUSM.
Katanya, doktor juga turut menghubunginya dan memaklumkan yang suaminya perlu ditambah darah dalam masa terdekat dan itu juga amat merisaukan mereka anak beranak.
Kesusahan keluarga ini dikongsikan Warga Pulai Chondong menerusi facebook dan Journal Malaysia juga mendoakan agar kak Rohayah diberikan ketabahan serra dipermudahkan rezeki mereka.
Kepada mereka yang ingin berkongsi rezeki bagi meringankan beban keluarga ini, boleh hubungi Rogayah ditalian 011 6108 7618 atau melalui WhatsApp tekan www.wasap.my/601161087618