KOTA TINGGI | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor telah menahan sebuah kapal tangki dari Korea Selatan di perairan Johor Timur petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki itu ditahan oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan penguatkuasaan di perairan Johor Timur sekitar jam 5.15 petang di kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Siang, Johor.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kapal tangki tersebut telah bersauh sejak Jumaat lalu ekoran menunggu arahan pergerakan daripada syarikat perkapalan.
“Walau bagaimanapun, nakhoda kapal telah didapati tidak memaklumkan ketibaan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia.
“Kapal tangki itu dikendalikan 18 kru terdiri dari warga Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 58 tahun, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kapal telah ditahan mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, nakhoda bersama Ketua Jurutera kapal seterusnya telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia ingin menasihatkan kepada semua pemilik kapal agar mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sebelum tiba di perairan Malaysia bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap kapal-kapal mereka,” katanya.
Sebarang aduan kesalahan di laut atau kecemasan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07 – 219 9404) atau talian kecemasan MERS 999.