KOTA KINABALU | Kes baharu COVID-19 di Sabah semakin bertambah dan hari ini mencatatkan sebanyak 1,383 kes iaitu penambahan sebanyak 136 berbanding 1,247 semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata, daerah Kota Kinabalu mencatat kes terbanyak iaitu 326 atau 24 peratus (%) daripada jumlah keseluruhan di negeri itu hari ini.
Katanya, selain itu, Tawau mencatatkan 168 kes, Sandakan, 138; Tuaran, 92; Penampang, 80 kes; Keningau, 79 kes; Kota Belud, 66; Beaufort, 65; Kinabatangan, 49; Kota Marudu, 41; Papar, 39; Beluran, 33; Tenom dan Putatan masing-masing 30 kes.
“Beberapa daerah merekodkan kenaikan kes yang ketara, Sandakan bertambah 86 kes, Keningau (36) kes, Kota Belud (18) kes, Kinabatangan (21) kes, Kota Marudu (37) kes, Beluran (23) kes dan Tenom (17) kes.
“Kontak Rapat menjadi penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah, iaitu 54.16% atau (749) kes, Saringan Bergejala 23.28% atau (322) kes, Saringan Kluster 8.03% atau (111) kes dan Saringan Bersasar 5.28% atau (73) kes,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, satu kluster baharu diisytiharkan hari ini di Kampung Timbua, Ranau yang sehingga kini merekod kumulatif sebanyak 48 kes, termasuk satu kes baharu hari ini.
Katanya, daripada 1,383 kes hari ini, sebanyak 1,064 adalah Kategori 1 dan Kategori 2, sebanyak 19 kes dalam Kategori 3, 12 kes dalam Kategori 4 dan enam kes dalam kategori 5, serta 283 kes lagi masih dalam siasatan JKNS.
“Masyarakat dirayu sekali lagi betapa perlunya kita mematuhi semua SOP. Kes yang begitu tinggi yang melibatkan Kontak Rapat adalah satu petunjuk bahawa ada di antara kita yang masih lalai dalam pematuhan SOP.
“la juga satu peringatan agar kita mengurangkan aktiviti-aktiviti sosial bersama rakan-rakan agar kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan virus COVID-19. Ada pembawa virus COVID-19 yang tidak menunjukkan sebarang simptom/ gejala,” katanya.