LAHAD DATU | Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menahan seorang lelaki warga asing dalam satu operasi di kawasan perairan Laut Lok Giam, Lahad Datu, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu, Superintenden Gan Ping Sin berkata, lelaki itu ditahan jam 12.30 tengah hari.
Katanya, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas satu paket lut sinar berisi ketulan jernih yang dipercayai dadah jenis syabu.
“Sebelum itu, pasukan operasi menahan sebuah pump bot yang dinaiki seorang lelaki yang tidak dikenali dan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu, menemui satu paket lut sinar berisi ketulan jernih yang dipercayai dadah jenis syabu berserta kepingan aluminium foil,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil saringan air kencing terhadap lelaki itu mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, lelaki itu dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis Marin Sabah sentiasa menggalakkan semua masyarakat persisir pantai untuk memberikan kerjasama menyalurkan maklumat kepada PPM melalui aplikasi Whatsapp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu di talian 013-9808084.