KOTA BHARU | Rakyat Kelantan sememangnya tersohol dengan sifat yang suka menderma dan menolong tidak kira ia membabitkan kesengsaraan rakyat dalam dan luar negara termasuk juga ke Gaza.
Ini terbukti apabila RM50,000 berjaya dikumpulkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerusi Tabung Palestin untuk membantu penduduk di sana.
Atas dasar perikemanusian dan keprihatinan, MAIK telah melancarkan kutipan Tabung Palestin yang diwujudkan di masjid-masjid seluruh Kelantan.
“Alhamdulillah, sikap masyarakat di Kelantan yang suka menderma dan turut merasai penderitaan dilalui penduduk di Palestin akhirnya sebanyak RM50,000 berjaya dikumpulkan.
“Jarak tidak membataskan kita (MAIK dan rakyat Kelantan) untuk membantu mengembalikan senyuman insan-insan yang menjadi mangsa kezaliman bedilan peluru rejim zionis,” kata MAIK dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan kenyataan itu, sekali lagi dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) I Relief and Humanitarian Outreach Malaysia (iReach), MAIK telah menyalurkan sumbangan masyarakat di Kelantan untuk disampaikan kepada penduduk di Palestin.
“Daripada jumlah tersebut ia telah didermakan bagi pembinaan Masjid Istiqama Gaza dan juga diberikan kepada 13 keluarga syuhada.
“Semoga bantuan dan derma yang disalurkan ini untuk membantu mereka dibumi Palestin diterima oleh ALLAH SWT dan menjadi salah satu asbab membawa kita ke syurga ALLAH. Amin Ya Rabbal Alamin,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, menerusi NGO sama, MAIK telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada penduduk Palestin yang mana kurang dari 24 jam, sumbangan MAIK sudah tiba di Bumi Palestin ketika itu.
“Terima kasih juga kepada iReach yang menjadi penghubung MAIK dan masyarakat di Kelantan untuk sama-sama membantu saudara kita di Palestin,” katanya.
MAIK juga mengucapkan terima kasih kepada semua penderma kerana bersama-sama membantu rakyat di bumi Palestin yang terkesan dengan bedilan rejim zionis.