KOTA BHARU | Peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah mengakui terkesan dengan penularan mesej berkenaan penyebaran COVID-19 di pasar itu sejak kelmarin.
Tinjauan Journal Malaysia di pasar itu juga mendapati keadaan lengang berikutan orang ramai bimbang jika penularan mesej yang didakwa berlaku jangkitan COVID-19 di pasar itu adalah benar.
Terdahulu, beberapa mesej tular di aplikasi whatsApp yang mendakwa beberapa peniaga di pasar itu dijangkiti COVID-19 dan lebih menakutkan apabila didakwa sebagai varian delta.
Peniaga buah, Che Ibrahim Che Ali, 55, berkata, akibat penularan mesej itu, keadaan pasar lengang berbanding sebelum ini.
“Saya akui, mesej yang tular itu sangat memberi kesan kepada peniaga di sini.
“Pengunjung juga berkurangan menyebabkan pendapatan saya terjejas. Dahlah selama ini orang dah kurang, mesej (COVID-19) tersebar, orang jadi lagi kurang.
“Pendapatan saya hari ini berkurangan 50 peratus berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di pasar itu, semalam.
Bapa kepada 13 anak itu berkata, walaupun kekurangan pelanggan, namun dia tetap berniaga kerana tidak mahu buah-buahan yang ada di kedainya rosak.
“Buah ni cepat rosak, jadi saya kena cekal dan terus berniaga untuk menyara anak isteri.
“Saya harap pengunjung terus menyokong kami untuk mencari sedikit pendapatan buat keluarga,” katanya.