KUALA LUMPUR | Jangan sesekali menyalahgunakan kebenaran beroperasi dan juga terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Itu peringatan Menteri Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berikutan jumlah premis yang diarahkan tutup serta merta kerana ingkar SOP dalam tempoh seminggu adalah tinggi.
Hishammuddin berkata, apabila kemudahan beroperasi diberikan oleh kerajaan sepatutnya tiada alasan untuk mana-mana premis ingkar SOP.
Menurutnya, kegagalan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan akan membawa risiko besar terhadap keselamatan negara terutama dalam konteks penularan COVID-19.
“Sebagai Menteri Kluster Keselamatan, saya perlu tegas dalam soal pematuhan SOP oleh premis-premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PPN ini.
“Mengenakan tindakan bukan kemahuan saya mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi jika premis sendiri tidak bertanggungjawab, maka mereka perlu tanggung akibatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hishamuddin berkata, sejak beliau mengambil alih tugas baharunya itu, setiap hari menerima laporan daripada Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM.
“Dalam seminggu lebih ini sahaja 810 premis melibatkan kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja diarah tutup serta merta kerana ingkar SOP.
“Terima kasih Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP COVID-19 serta Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM kerana bertungkus-lumus menjalankan penguatkuasaan di seluruh negara,” katanya.