PUTRAJAYA | Jumlah kelahiran di negara ini menunjukkan penurunan sebanyak 4.4 peratus bagi suku tahun kedua tahun ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, manakala kadar kematian meningkat sebanyak 10.1 peratus bagi suku tahun kedua 2021 berbanding suku tahun kedua tahun lalu.
Katanya, sebanyak 111,573 kelahiran dilaporkan pada suku tahun kedua 2021, berbanding 116,688 kelahiran dalam tempoh sama tahun lalu, dengan 55,881 kelahiran bayi perempuan manakala 55,692 bayi lelaki.
“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran (18.3 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Labuan sebanyak 390 kelahiran (0.3 peratus).
“Negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Republik Korea, United Kingdom (UK), Perancis dan Sepanyol turut mencatatkan penurunan bilangan kelahiran,” katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, jabatan itu mendapati sebanyak 44,307 kematian direkodkan pada suku tahun kedua tahun ini berbanding suku tahun kedua tahun lalu (40,241 kematian), dengan 25,216 adalah lelaki dan 19,091 wanita.
Katanya, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 6,818 kematian (15.4 peratus) manakala Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 53 kematian (0.1 peratus), bagi tempoh sama.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,898 kematian disebabkan oleh COVID-19 daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun kedua tahun ini, meningkat berbanding 78 kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Data juga menunjukkan kematian tertinggi akibat COVID-19 dicatatkan oleh kumpulan berusia 65-69 tahun dan diikuti kumpulan umur 70-74 tahun dengan Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat COVID-19 iaitu 1,236 kematian manakala Putrajaya merekodkan kematian terendah iaitu empat kematian.
“Namun, pandemik COVID-19 tidak menjejaskan jangkaan hayat ketika lahir di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, jangkaan hayat bagi bayi yang lahir pada tahun ini secara puratanya dijangka boleh hidup mencecah usia 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding sedekad lalu, iaitu sehingga 74.3 tahun (2011).
Menurutnya, perbandingan mengikut jantina bayi perempuan hidup lebih lama berbanding bayi lelaki dengan peningkatan jangkaan hayat 0.5 tahun berbanding lelaki, 0.4 tahun bagi tempoh 2011 hingga 2021.