PASIR MAS | Seorang mudir pondok yang dikenali sebagai Ustaz Budak dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, 3 Ogos lalu.
Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 33, mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.
Prosiding pertuduhan dijalankan secara dalam talian berikutan adanya tahanan lain yang positif COVID-19 di dalam lokap.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual meraba seorang remaja lelaki berusia 13 tahun jam 9.45 pagi di sebuah bilik tidur di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, 3 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Terdahulu, Ahmad Adha memohon jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya, manakala Hajarul Falenna memohon tidak dikenakan jaminan memandangkan mangsa adalah remaja.
Mahkamah memutuskan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.