KUALA TERENGGANU | Bagi membantu penduduk yang mengalami gangguan bekalan air di Setiu dan Kuala Nerus, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu mengedarkan lebih 2,600 botol air mineral pelbagai saiz kepada penduduk semalam.
YADIM juga memberi sumbanhan dua pam air berkuasa tinggi bagi membantu penduduk yang terjejas.
Inisiatif menerusi program Musaadah Bekalan Air Terengganu itu bermula sejak awal gangguan air dan masih berterusan hingga kini.
Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata, program menyantuni rakyat itu dijayakan dengan kerjasama Sukarelawan YADIM (SAY) Terengganu yang membantu mengedarkan air mineral selain memasang pam air pada dua telaga iaitu di Kampung Alor Damat dan Kampung Pengkalan Maras.
Katanya, pam berkuasa tinggi yang disumbangkan boleh menampung kegunaan tiga (paip) sekali gus, setiap satunya bernilai RM1,200.
“Kita juga gerakkan 30 sukarelawan untuk menghantar tiga botol air mineral ke rumah rumah selain Jalur Gemilang untuk mengambil semangat kemerdekaan dan surah Yassin sempena Maal Hijrah,” katanya pada majlis ringkas Musaadah Bekalan Air yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Shaharizukirnain mengucapkan terima kasih kepada YADIM atas bantuan diberikan yang disifatkannya sangat bermanfaat kepada rakyat yang bukan sahaja berdepan COVI-19, malah kini mengalami gangguan bekalan air.
“Kerajaan negeri berusaha meringankan beban orang ramai yang menghadapi masalah itu dengan menyediakan bekalan air menerusi tangki statik dan lain-lain bentuk bantuan dari pelbagai agensi.
“YADIM menyantuni semua tanpa mengira latar belakang dan lapisan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Orang ramai boleh menyumbang kepada YADIM menerusi dua cara mudah iaitu layari laman web YADIM dan klik di ruangan ‘Sumbangan Dana’ di halaman utama. Seterusnya ikuti panduan yang diberikan, atau hulurkan sumbangan anda ke akaun 5660 1062 5428 (Maybank).