KUALA LUMPUR | Sebanyak 3,396 kes COVID-19 yang dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia dalam tempoh Mac 2020 sehingga Jun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dianggarkan hampir satu peratus ibu hamil di negara ini dijangkiti COVID-19.
Katanya, jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober 2020, dengan purata 200 kes jangkitan sebulan dan lonjakan kes pada Mei lalu (sebanyak 850 kes) dan Jun (sebanyak 899 kes).
“Peratus ibu hamil yang dijangkiti COVID-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat dari 3 peratus pada 10 Julai kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos.
“Analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti COVID-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit COVID-19 kritikal ialah 1 dalam 20.
“Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu 1 dalam 220,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sehingga 9 Ogos lalu, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan COVID-19 telah dilaporkan berbanding tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 dilaporkan pada 2020.
Katanya, purata kes COVID-19 bagi Januari sehingga Mei tahun ini adalah sebanyak 2 kes pada setiap bulan.
“Walau bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian dilaporkan sejak Jun lalu iaitu sebanyak 17 kes.
Data menunjukkan 15 kes langsung tidak menerima vaksin COVID-19.
“Manakala, sebanyak 47 peratus daripada kes kematian yang dilaporkan juga mempunyai komorbid atau penyakit lain,” katanya.