KUALA LUMPUR | Seramai 41 rakyat Malaysia akan meneruskan pengajian pascasiswazah di United Kingdom (UK) sebagai penerima biasiswa Chevening untuk tahun akademik 2021/2022.
Lapor Bernama, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay, berkata pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini tidak menjadi penghalang kepada rakyat Malaysia berusaha memperoleh kecemerlangan akademik dan pengalaman serta pendedahan berharga dengan belajar di UK.
Beliau memberi jaminan kepada sarjana Chevening dan semua pelajar Malaysia yang merancang melanjutkan pelajaran di UK bahawa universiti akan menyediakan pengajaran berkualiti tinggi, selaras panduan kerajaan untuk memastikan semua pelajar selamat dan disokong.
“Banyak universiti di UK akan mengguna pakai ‘pendekatan hibrid’ untuk pengajaran, dengan banyak kelas diajar secara bersemuka, tetapi ada beberapa elemen dibuat secara dalam talian,” katanya pada prapelepasan secara maya untuk penerima, semalam.Kumpulan sarjana ini akan berlepas ke UK seawal bulan depan untuk melanjutkan program pascasiswazah di universiti terkemuka di UK dalam bidang seperti perubahan iklim, undang-undang, hak asasi manusia, dasar awam dan kesihatan awam.
Hay berkata, permohonan baharu Chevening kini dibuka dan rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana di UK perlu memohon sebelum tarikh akhir pada 3 November depan.
Katanya, mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang www.chevening.org/malaysia untuk maklumat lanjut.
Anugerah Biasiswa Chevening adalah program biasiswa global kerajaan UK yang dibiayai dan ditadbir Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan.
Rakan korporat termasuk CIMB Group Holdings Berhad, Yayasan Khazanah, Yayasan Jeffrey Cheah dan universiti British menyediakan dana tambahan untuk program itu.
Malaysia adalah penerima anugerah Chevening kedua terbesar di ASEAN dengan lebih 1,700 alumni Malaysia.