KUALA LUMPUR | Seramai 83,251 atau 57 peratus wanita mengandung telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, manakala, sebanyak 20 peratus ibu hamil telah lengkap menerima dua dos vaksin.
Katanya, sehingga 8 Ogos lalu, seramai 146,759 wanita mengandung telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin COVID-19, sejak kempen ibunisasi dimulakan pada akhir Jun lalu.
“Berdasarkan anggaran setahun, peratus wanita mengandung yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus.
“Memandangkan mereka tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru semua wanita mengandung untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti COVID-19.
“Suami mestilah memberi sokongan kepada pasangan bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga.
Katanya, wanita mengandung yang masih belum menerima janji temu untuk vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu.