BANDAR SERI BEGAWAN | Brunei melaporkan 49 kes COVID-19 baharu pada hari ini, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 543 kes.
Menurut Kementerian Kesihatan Brunei dalam satu kenyataan berkata, semua kes baru adalah jangkitan tempatan.
Katanya, walaupun sumber jangkitan lima kes tempatan masih dalam siasatan, 32 kes diklasifikasikan kepada lima kluster aktif yang sudah dikenal pasti dan selebihnya 12 kes berkaitan dengan tiga kluster baru yang disahkan pada hari Khamis.
“Semua kes baru adalah dalam kluster aktif adalah individu yang kini dikuarantin dan didapati bersentuhan dengan beberapa kes yang disahkan.
“Kementerian kesihatan mengatakan bahawa pengesanan kontak untuk semua kes baru masih dijalankan, dengan sejumlah 5,518 orang dikenalpasti sebagai kenalan rapat dari kes-kes baharu yang sudah disahkan,” kata kenyataan itu.
Kini, terdapat 218 kes aktif yang sedang dirawat dan dipantau di Pusat Pengasingan Nasional.
Sebelum pengesanan kes tempatan pada 7 Ogos, Brunei telah mencatat 457 hari tanpa jangkitan kes COVID-19.
Setakat ini Brunei mencatatkan tiga kematian.