MANILA | Gempa bumi dengan magnitud 7.3 melanda timur laut Mati di Davao Oriental pada jam 1.46 pagi tadi waktu tempatan, lapor Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS).
Gegaran dikesan berasal daripada plet tektonik, yang tertumpu pada kedalaman 69 kilometer (km) di tengah laut dan PHIVOLCS berkata kerosakan serta gempa susulan dijangka berlaku.
Pekan terdekat, Governor Generoso, terletak kira-kira 67 kilometer ke tenggara pusat gempa gempa bumi itu.
Gegaran turut dirasai di wilayah Cotabato Selatan di Mindanao dan sehingga wilayah Leyte di tengah Filipina.Unit kerajaan tempatan di Davao Oriental masih menilai kesan gempa bumi itu terhadap masyarakat setempat.
Jurucakap agensi bencana alam Filipina, Ricardo Jalad, berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan kerosakan, kemalangan, kecederaan atau kemusnahan besar setakat ini.
“Tidak banyak musibah dilaporkan walaupun gegaran agak kuat kali ini, malah lapangan terbang, pelabuhan dan infrastruktur utama tidak terjejas manakala semua kakitangan disahkan selamat.
“Hanya beberapa keretakan kecil dilaporkan berlaku pada landasan lapangan terbang yang jarang digunakan di selatan Davao Oriental,” katanya kepada pemberita.
PHIVOLCS memaklumkan, tiada ancaman tsunami susulan gempa itu terhadap pesisiran pantai Filipina.
Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) atau USGS melaporkan pusat gempa bumi berada di sekitar Pondaguitan.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik pula berkata, gempa dengan kekuatan tinggi itu mencetuskan ancaman tsunami dalam jarak 299 km dari pusat gempa tetapi tidak cukup kuat bagi sampai ke daratan. – AGENSI