BAITULMAQDIS | Israel akan memberi kelulusan bagi pembinaan 2,000 rumah baharu untuk penduduk Yahudi di Tebing Barat yang diceroboh, kata sumber pertahanan hari ini.
Lapor AFP, program itu dilaksanakan walaupun mendapat tentangan daripada anggota minoriti (dovish) dalam kalangan parti gabungan membentuk kerajaan Israel.
Palestin dengan segera mengutuk rancangan perluasan penempatan terbaru itu, yang pertama bagi pentadbiran Perdana Menteri, Naftali Bennett.
Sumber keselamatan memberitahu AFP, kebenaran bagi penempatan Yahudi itu dibuat seiring dengan kelulusan bagi ratusan rumah rakyat Palestin di kawasan besar di Tebing Barat dikenali sebagai Kawasan C, di mana Israel mempunyai kawalan ketenteraan dan perancangan.”Dijangka kelulusan akan dibuat membabitkan kira-kira 1,000 unit rumah untuk rakyat Palestin di Kawasan C pada minggu depan dan 2,000 unit rumah bagi penduduk Yahudi,” kata sumber yang enggan dikenali kepada AFP.
Pejabat presiden Palestin, Mahmud Abbas menegaskan ‘penolakan dan mengutuk sekeras-kerasnya’ penempatan baharu itu, yang bercanggah dengan ‘pendirian jelas Amerika Syarikat (AS)’ yang dinyatakan Presidennya, Joe Biden.
Biden dilaporkan akan bertemu dengan Bennett dalam masa terdekat, walaupun pejabatnya tidak menyatakan tarikhnya secara terperinci.
Bennet, bekas pengarah Majlis Yesha yang memperjuangkan kepentingan penduduk Yahudi, berdepan kritikan daripada rakan dalam kerajaan gabungannya selain penyokong Israel di pihak pembangkang.
Israel merampas Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis daripada Jordan pada 1967 dan sejak itu, hampir 700,000 penduduk Israel berpindah ke situ, yang disifatkan majoriti masyarakat antarabangsa sebagai pendudukan haram.
Penduduk Palestin berharap wilayah itu akan menjadi sebahagian daripada negara mereka kelak, namun semakin ramai cuba diusir dari rumah sendiri sehingga berlaku beberapa pertembungan ganas sebelum ini.
Tujuh pembuat undang-udang daripada parti minoriti, Meretz, termasuk tiga menteri, menulis kepada Menteri Pertahanan, Benny Gantz, membantah kelulusan tambahan rumah kepada penduduk Israel itu.