KOTA BHARU | Kelantan merayu kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memberi vaksin COVID-19 sebanyak satu dos kepada negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, setakat ini negeri ini hanya menerima sebanyak 500,000 dos vaksin sahaja sebulan.
Katanya, untuk suntikan sehari, Kelantan hanya memberi vaksin 25,000 dos dan ia hanya sehingga jam 2 petang sahaja kerana vaksin yang dibekalkan sudah habis.
“Jadi, kita berharap MOSTI mendengar rintihan kami sekali gus memenuhi permintaan Kelantan.
“Jangan meletakkan Kelantan negeri yang terkebelakang dan meminggirkan kami dari segi agihan vaksin memandangkan kes COVID-19 di negeri ini semakin meningkat. Sedangkan kerajaan sudah mengumumkan beberapa kelonggaran untuk sektor ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.
Dr Izani berkata, sehingga kini pihaknya tidak mendapat bekalan vaksin yang dimohon dan mendapat maklumat hanya 700,000 dos vaksin yang akan diberikan bulan ini.
Katanya, dari segi pemberian vaksin, Kelantan berada di tempat ketiga tercorot apabila jumlah penerima dos kedua hanya 17 peratus sahaja dan dos pertama sebanyak 26 peratus.