KOTA KINABALU | Sabah mencatatkan 28 kes kematian hari ini, iaitu lapan kes di Kota Kinabalu, enam di Tawau; empat di Tuaran; tiga di Sandakan; dua di Kuala Penyu dan masing-masing satu di Putatan, Keningau, Sipitang, Penampang dan Beluran.
Berbanding semalam hanya 13 kematian yang dicatatkan di Sabah.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata, penularan wabak virus COVID-19 di dua tempat kerja mengakibatkan jumlah kes harian di Sabah melambung tinggi melepasi angka 2,000 iaitu (2,052) kes hari ini.
Jabatan Kesihatan Sabah juga memaklumkan peningkatan jumlah kes hari ini adalah sebanyak 538 kes berbanding 1,514 kes yang dicatatkan semalam.
Kata kenyataan itu juga, dengan peningkatan ini menjadikan jumlah kumulatif kes di Sabah meningkat kepada 100, 031 kes.
“Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital atau sembuh hari ini adalah 628 orang, menjadikan jumlah kumulatif 85,337 orang pesakit yang sembuh,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, seramai 4,899 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,104 orang di hospital, 3,732 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 57 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau Penjara manakala enam orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 151 orang dan 58 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” kata kenyataan itu.
“Jangkitan virus COVID-19 di sebuah pelantar minyak (offshore) yang melibatkan 209 pekerja, dan ditambah pula dengan 109 pekerja tapak binaan Hyatt Centric (berhadapan Surla Sabah, Kota Kinabalu) yang terdiri daripada warga Filipina, China dan Malaysia menjadikan jumlah yang amat tinggi bagi daerah Kota Kinabalu dalam sehari, iaitu 635 kes.
“Berapa daerah lain juga mengalami penambahan kes baharu yang tinggi, Tuaran kepada 126 kes, Tawau 178 kes, Beaufort 86 kes, Kota Belud 84 kes, Lahad Datu 50 kes, Telupid 77 kes, Sipitang 46 kes dan Tongod 21 kes,” katanya.
Jelas kenyataan daripada 2,052 kes baharu, 1,154 kes atau 56.24 % melibatkan Kontak Rapat, (440) kes atau 21.44% adalah kes melalui Saringan Bergejala, (91) kes daripada Saringan Kluster Sedia Ada dan (71) kes melalui Saringan Bersasar manakala, 14.4% atau (296) kes adalah daripada kategori-kategori lain.
“Sejumlah 1,634 kes daripada 2,052 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 720 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 914 kes sekadar mengalami simptom ringan (mild).
“Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.
Dimaklumkan 22 kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan dua dalam Kategori 5.
Sementara, pesakit dalam Kategori 4 dan Kategori 5 ini memerlukan rawatan rapi ICU dan 388 kes masih dalam siasatan lanjut untuk menentukan pengkategorian.