KOTA BHARU | Masjid di Kelantan akan dibuka selepas kes COVID-19 menurun dan pemberian vaksin meningkat kepada 50 peratus.
Ini berikutan kes COVID-19 di Kelantan masih lagi tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meminta pembukaan masjid ditangguhkan berikutan kes di negeri itu masih tinggi.
“Tuanku memohon supaya bilangan kes mesti turun dan peratus pemberian vaksin meningkat kepada 50 peratus, barulah masjid dibuka.
“Bagi menurunkan kes, kita memerlukan kerjasama daripada penduduk di Kelantan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat khas Jawatankuasa Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hanya membenarkan empat jemaah untuk menunaikan solat di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musala di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dr Izani berkata, pihaknya menjangkakan akan mengambil
masa selama tiga bulan untuk melandaikan kes COVID-19 di negeri itu.