KOTA KINABALU | Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan selama 14 hari sehingga 28 Ogos ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perintah berkurung itu itu sepatutnya yang berakhir esok yang meliputi perairan Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan itu dilarang menghampiri atau berada di kawasan yang diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.
“Perintah itu diteruskan untuk memastikan kawasan perairan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.
“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perintah berkurung adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.
Katanya, beliau juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu.