KUALA LUMPUR | Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) dilancarkan kerajaan tadi, bagi memperkenalkan semula peranan dan memperbaharui kemampuan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di negara ini.
Memetik Harian Metro, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PERKUKUH merangkumi 20 inisiatif, dilaksana sehingga 2024 bagi mencapai lima hasil utama disasarkan, dengan usaha juga digandakan bagi mendepani cabaran ekonomi kesan pandemik covid-19.
Beliau berkata, lima hasil utama itu adalah mandat yang lebih jelas bagi setiap GLIC, peningkatan tumpuan terhadap pelaburan untuk pembangunan dan yang menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan baharu dan meningkatkan kesan sosio-ekonomi.
Selain itu katanya, ia bagi menyemarakkan lagi pelaburan di dalam sektor swasta sambil menyelaraskan peranan kerajaan dan agensinya dalam perniagaan, mewujudkan GLIC yang bersiap siaga menghadapi masa depan dengan tadbir urus, keupayaan dan strategi terbaik serta memperkukuh perlindungan sosial dan ketahanan fiskal.
“GLIC akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Dana Kekayaan Negara (SWF) di satu pihak merangkumi entiti seperti Khazanah Nasional Bhd (KNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc).
“Manakala kategori kedua adalah pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya ketika melancarkan PERKUKUH secara maya tadi.
Hadir sama dalam program pelancaran secara maya itu adalah, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pengerusi-pengerusi GLIC.