By Nik Amir
Ketua Jurulatih Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor berang dengan persembahan pemain selepas pasukannya tunduk 3-1 kepada Kelantan FC dalam saingan Liga Premier di Kota Bharu, semalam.
Pengendali kelab itu jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan sedemikian susulan prestasi mengecewakan dipamerkan anak buahnya apabila gagal menterjemahkan beberapa peluang terhidang dalam bentuk jaringan, pada pertemuan tersebut.
“Saya mengambil tanggungjawab di atas kekalahan ini dan selama saya menjadi jurulatih di sini, inilah persembahan paling teruk kami tunjukkan. Pasukan mana yang dapat jaringkan gol, pasukan itu akan menang dalam perlawanan seperti ini.
“Dalam bola sepak kita kena terima kekalahan tapi saya tak boleh terima kekalahan dengan cara pemain saya bermain. Kita mendapat empat peluang clear (boleh menjaringkan) gol dalam separuh masa pertama tapi kita gagal jaringkan gol,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan.
Pada aksi “local derby” di Stadium Sultan Muhammad IV, skuad The Green gagal memberi saingan apabila membiarkan Kelantan FC mencipta kemenangan 3-1 hasil jaringan Nurshamil Abd Ghani (m-39) dan Natanael Siringo Ringo (m-46,59) manakala gol tunggal mereka disumbangkan oleh Gassama Alfusainey (m-49).
Kekalahan itu meletakkan Kelantan United FC menghuni di tangga kelapan apabila hanya mampu mengutip 20 mata hasil enam kemenangan, dua seri dan lapan kali kekalahan.
Nazrulerwan yang menggantikan jurulatih terdahulu, Akira Higashiyama pada pertengahan musim ini memberitahu, pemainnya seperti mula hilang punca sejurus tuan rumah menjaringkan gol kedua, hanya seminit selepas aksi babak kedua bersambung.
“Saya nampak macam tu bila kita kena gol kedua, pemain mula down (moral merudum) dan tidak ada arah tuju untuk menyerang.
“Kita akan buat post mortem (bedah siasat) untuk lihat di mana kelemahan yang ketara dan apa yang kita akan cuba boleh perbaiki nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya peluang Kelantan United FC untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan musim ini dalam kelompok lima terbaik, pengendali berusia 41 tahun itu bagaimanapun bersikap realistik mengambil kira prestasi tidak menentu kelabnya, ketika ini.
“Saya percaya untuk pasukan ini pergi lebih jauh tapi desakan untuk performance (prestasi semasa) pada hari ini kemungkinan susah (mencapai sasaran),” jelasnya lagi.