TUMPAT | Seorang penganggur lelaki ditahan dan dadah jenis syabu serta pil yaba yang bernilai lebih RM10.9 juta dirampas dalam serbuan di tepi jalan di Kampung Kuala Jambu di sini, kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 804,000 pil yaba yang bernilai RM8,040,000dan 80 kilogram dadah jenis syabu berjumlah lebih RM2,880,000.
Katanya, dadah itu ditemui di dalam bungkusan hitam di dalam semak di lokasi kejadian.
“Suspek yang juga dipercayai ahli sindiket dadah ditahan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada jam 10.05 pagi kelmarin di Kampung Bendang Pak Yong.
“Sebelum itu, lelaki berkenaan memandu sebuah kereta jenis Honda Jazz cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.
“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 0.1 gram dadah jenis heroin dan dua liter air ketum.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, pada jam 2 petang hari yang sama, suspek dibawa ke sebuah lokasi di Kampung Kuala Jambu sebelum menemui sejumlah dadah jenis syabu dan pil kuda bernilai RM10.9 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Shafien berkata, hasil siasatan suspek mengaku dirinya hanya sebagai ‘transporter’ dan hasil saringan ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methampethamine.
“Bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran untuk pasaran luar Kelantan. Dadah jenis syabu yang dirampas itu boleh digunakan oleh 400,000 penagih dan pil kuda lebih 800,000 orang.
“Suspek yang mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkait kes dadah ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya siasatan lanjut masih lagi dijalankan.