KOTA BHARU | Bagusnya orang Kelantan. Itulah persepsi yang boleh diberikan apabila peniaga yang membenarkan pelanggan ‘dine in’ di premis masing-masing mematuhi arahan kerajaan.
Ianya terbukti apabila 59 premis makanan yang diperiksa oleh Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam )MPKB-BRI) kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ‘dine in’ ditetapkan.
MPKB-BRI dalam satu kenyataan berkata, semalam pihaknya telah melakukan pemeriksaan di 273 premis menerusi Ops Pemantauan Pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
Menurut kenyataan itu, pemantauan pada kali ini memfokuskan premis-premis perniagaan dalam kawasan pentadbiran MPKB-BRI.
“Operasi dijalankan terhadap 10 premis Pasaraya, 145 restoran sembilan Pasar Awam, 98 premis penjaja dan 11 bank.
“Dalam operasi tersebut, pihak Majlis turut membuat pemantauan terhadap 59 premis restoran yang membenarkan aktiviti ‘Dine In’ dan kesemua restoran tersebut mematuhi SOP ‘Dine In’ digariskan,” katanya.
Operasi yang bermula pada 7.30 pagi hingga 12.00 tengah malam itu melibatkan 40 anggota dan lapan pasukan.
Dalam operasi tersebut juga, satu kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 dan satu notis amaran dikeluarkan.
Dalam masa sama, MPKB-BRI menyeru supaya masyarakat terus mematuhi SOP PPN Fasa 2 dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.
Journal Malaysia juga mengharapkan masyarajat di Kelantan terus bersikap positif ketika mana kerajaan memberikan beberapa kelonggaran kepada rakyat.
Jangan lupa kita masih belum menang dalam menangani COVID-19.