KUALA PERLIS | Zon Maritim Kuala Perlis melakukan proses pelupusan ke atas sejumlah barang kes yang telah selesai dan mendapat perintah mahkamah untuk dimusnahkan di Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Kuala Perlis sekitar jam 10.30 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pelupusan itu dilakukan secara hancur musnah.
Katanya, sebanyak lima bot nelayan lucut hak, lima tan daun ketum, 148 set bubu naga, 114 set bubu udang lipan, tiga bidang pukat pari dan dua papan tunda dengan anggaran nilai keseluruhan lebih kurang RM86,160.
“Kesemua barang kes yang dilupuskan ini melibatkan kes-kes tangkapan dan rampasan membabitkan nelayan asing sepanjang tahun 2019 dan 2020 di perairan negeri Perlis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Racun 1952.
“Bot dilupuskan secara potong hancur oleh jengkaut sebagai mesej ketegasan agensi ini dalam menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang di perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kira-kira lima tan ketum bernilai RM46,880.00 dilupuskan membabitkan kes tahun 2020 yang selesai dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Katanya, pelupusan kesemua barang kes ini juga adalah usaha dalam mengatasi isu lambakan barang kes di stor simpanan Zon Maritim Kuala Perlis.
“Maritim Malaysia akan terus memastikan tahap pengurusan sesuatu kes berprofil tinggi dikendalikan mengikut prosedur dan piawaian standard yang telah ditetapkan.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia,” katanya.