KOTA SAMARAHAN | Jangan spekulasikan insiden tembak memabitkan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut di Kem TUDM di sini, pagi tadi.
Itu gesaan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak, SAC Lukas Anak Aket dalam satu kenyataan hari ini.
“Siasatan sedang dijalankan dan pihak PDRM menggesa orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai,” katanya hari ini.
Beliau juga berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan satu kejadian melepaskan tembakan di Balai Pengawal Flait 232 HANDAU, Skuadron 330 TUDM Kota
Samarahan.
“Kejadian berlaku pada 13 Ogos 2021 jam lebih kurang 7.15 pagi dan melibatkan kematian empat anggota TUDM.
“Punca dan motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media melaporkan, kejadian berkeaan didakwa berlaku berlaku ketika masa serah tugas.
Kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Adi Ismail pada pagi tadi memaklumkan salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri.
Katanya, dua rakannya yang ditembak maut serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.
“Mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri mendapat rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan.
“Mangsa yang cedera di bahagian perut dan kritikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan,” katanya.