BRUSSELS: Wakil Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan krisis semakin meruncing di Afghanistan.
Penguasaan militan Taliban di negara itu pantas menyusul pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dan NATO yang dijangka selepas sepenuhnya akhir bulan ini, kata sumber rasmi kepada AFP.
Ketua Setiausaha NATO, Jens Stoltenberg, mengetuai perbincangan wakil dari 30 ahli gabungan dalam mesyuarat yang bermula pada jam 3 petang tadi waktu tempatan, menumpukan kepada pengunduran tentera AS dan pertubuhan itu.
Menurut sumber sama, ia bertujuan menyelaras langkah kawalan dan menentukan siapa perlu melaksanakannya, bila dan bagaimana serta apa sokongan yang akan diberikan.
Pemberontak Taliban merampas beberapa ibu negeri dalam serangan hendap sejak sebahagian besar pasukan NATO dan AS berundur dari negara itu, selaras hasrat Presiden AS, Joe Biden, yang mahu keluar dari Afghanistan.
Kuasa besar NATO iaitu AS dan Britain, sudah mengarahkan ribuan tentera mereka ke Afghanistan untuk membawa pulang warganegara masing-masing.
Langkah itu susulan penguasaan pemberontak di bandar kedua terbesar, Kandahar dan kini hanya tinggal Kabul dan beberapa wilayah saja masih dikuasai kerajaan.
Kerajaan Afghanistan kini juga sudah kehilangan hampir keseluruhan negara ekoran pertempuran selama lapan hari dengan Taliban, yang turut menggempur Kabul.
Washington dan London mengumumkan rancangan mereka lewat Khamis lalu untuk membawa keluar kakitangan kedutaan serta warga negara mereka dari ibu negeri itu.
Pegawai Washington pula memberitahu AFP bahawa AS sudah menerangkan kepada NATO sebelum pengumuman dilakukan Jabatan Negara AS.
“NATO sedang memantau situasi keselamatan itu dengan begitu dekat,” katanya.
Gabungan itu akan mengekalkan kehadiran diplomatik mereka di Afghanistan tetapi enggan mendedahkan jumlah kakitangan NATO yang masih berada di negara itu, ekoran faktor keselamatan. – AFP