PUTRAJAYA | “Sebagai seorang manusia, saya tentunya tidak terhindar daripada kelemahan dan kekurangan,” kata Perdana Menteri hari ini.
Muhyiddin Yassin berkata, apatah lagi dalam keadaan beliau sebagai Perdana Menteri yang memikul suatu tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik yang luar biasa sejak lebih setahun yang lalu.
Itu yang ucapkan Ahli Parlimen Pagoh itu pada Ucapan Khas Perdana Menteri-Bersama Memulihkan Negara yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.
Muhyiddin juga melahirkan rasa agak sedih dan dukacita dengan perkembangan politik yang sedang berlaku mutakhir ini.
“Hari ini, di hadapan saudara dan saudari semua, saya ingin bercakap secara jujur dan berterus terang,” katanya.
Tambahnya, pastinya dengan cabaran yang dihadapi mutakhirnya ini beliau memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakan- rakan dalam kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan, frontliners dan rakyat seluruhnya untuk membolehkannya melaksanakan tanggungjawab membawa negara ini keluar daripada krisis.
“Tidak kurang pentingnya ialah sokongan rakan-rakan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional yang mana dengan sokongan merekalah saya berada di sini pada hari ini.
“Keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.
“Namun, malangnya dalam keadaan saya dan rakan-rakan dalam kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan kepada saya,” katanya.
Katanya, tindakan tersebut juga turut menimbulkan keraguan tentang keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah.
“Dalam keadaan ini, saya mempunyai dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan. Saya boleh memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya atau meletak jawatan.
“Pilihan saya yang paling mudah ialah meletak jawatan. Jika saya mengambil keputusan ini, maka selesailah urusan saya dan terserahlah kepada kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang baharu,” katanya.
Katanya, menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku boleh melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan yang terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku,” katanya.
Tegasnya, namun sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.
“Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri.
“Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh.
“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan,” katanya.
Katanya, apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.