KUALA LUMPUR | Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan untuk memperluaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PICK untuk remaja itu dibahagikan kepada dua golongan iaitu individu berusia 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.
“Satu lagi, semua individu berusia 16 dan 17 tahun dengan atau tanpa mempunyai masalah kesihatan tertentu dan proses implementasi bergantung kepada bekalan vaksin,” katanya dalam satu surat pekeliling di sini.
Beliau berkata, remaja yang mempunyai masalah kesihatan tertentu perlu menjalani penilaian pra-vaksinasi oleh pegawai atau pakar perubatan.
Katanya, penilaian dibuat berdasarkan status kesihatan semasa, sejarah perubatan, sejarah alergik serta rawatan atau ubatan yang sedang diterima.
“Tidak semua bakal penerima vaksin akan melalui pra penilaian ini, hanya tiga kategori sahaja yang perlu menjalani penilaian.
“Iaitu individu yang mempunyai sejarah alahan yang teruk, individu yang mengalami kelemahan sistem imun disebabkan oleh penyakit atau rawatan diterima serta individu yang menerima rawatan ubat pencair darah atau mempunyai masalah kesihatan sehingga menyebabkan kecenderungan mengalami pendarahan,” katanya.