PUTRAJAYA | Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan varian Lambda belum masuk ke negara ini.
Beliau berkata, walaupun varian itu belum dikesan di Malaysia, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus meningkatkan usaha pelaksanaan penjujukan genom dalam membendung kemungkinan penularan varian itu.
Katanya, kawalan sempadan amat penting untuk membendung jangkitan varian baharu itu.
“Kita mengawal kes dari luar negara dengan baik menggunakan kaedah elektronik.
“Pihak kita turut menjalankan penilaian risiko sebelum membenarkan individu yang pulang dari luar negara untuk bercampur dengan komuniti,” katanya di sini hari ini.
Varian Lambda adalah varian baharu disahkan ditemui di Amerika Syarikat, Peru dan Jepun.
Dr Noor Hisham berkata, KKM akan memulakan penjujukan genom varian COVID-19 secara konsortium dengan menerima peruntukan sebanyak RM3 juta terhadap 3,000 sampel.