by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Seramai 208 individu dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Operasi Pematuhan di seluruh negara, kelmarin.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata menerusi operasi diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, seramai 16 individu ditahan dan direman untuk tindakan lanjut.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 18,425 anggota melaksanakan 82,158 pemeriksaan dan ‘snap check’ COVID-19, bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.
“Pasukan itu turut melaksanakan pemeriksaan pematuhan SOP sektor perkilangan dan premis perniagaan membabitkan 1,959 kilang, premis perniagaan (14,847), tapak pembinaan (924) dan asrama pekerja (316),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Hishammuddin berkata, hasil pemeriksaan, sebanyak 48 premis diarah tutup serta merta ekoran kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), beliau berkata, seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan lima kenderaan darat dirampas dalam operasi itu, kelmarin.
“Dalam operasi sama, pasukan keselamatan turut mengesan empat bot dan lapan kenderaan darat melalui aktiviti penglihatan dan 20 PATI diusir melalui aktiviti pengusiran.
“Pasukan keselamatan terdiri PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut melaksanakan 918 sekatan jalan raya di seluruh negara, termasuk kawasan sempadan negara,” katanya.