By HIDAYAH AZALI
KUALA LUMPUR | Malaysia bakal menerima satu juta dos vaksin COVID-19 secara percuma yang akan disumbangkan oleh Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengucapkan syukur di atas sumbangan itu.
“Hubungan akrab Malaysia dengam UAE terus membawa manfaat bermakna terhadap usaha menangani cabaran pandemik COVID-19.
“Ini bukan kali pertama UAE hulur sumbangan. Tahun lalu kita terima lebih 7 tan peralatan perubatan pelbagai jenis yang banyak membantu usaha awal pasukan petugas barisan hadapan perubatan kita perangi COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawat, Yang Mulia Putera Abdullah Zayed Al-Nahyan.
Katanya, penghargaan itu juga kepada Kerajaan UAE kerana keprihatinan mereka, sangat dihargai Malaysia.