PUTRAJAYA | Bermula esok, kerajaan telah bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi bagi Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN)
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia membabitkan kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur dan kedai perabot
Selain itu, kata beliau turut dibenarkan kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, Pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori.
“Turut dibenarkan kedai barang kemas dan Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)- terdapat prosedur operasi standard (SOP) kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.
“la termasuklah memakai sarung tangan menghadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan fitting room.
“SOP ini mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” katanya.
Muhyiddin juga berkata, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital cetificate COVID-19 vaccination) bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
“Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos,” katanya.