KOTA BHARU | “Sebagai Muslim, kita harus berpegang bahawa ajal dan maut ditentukan Allah, tetapi kita juga harus berusaha dengan mengambil vaksin,” kata Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Beliau merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata demikian dalam rancangan bual bicara Pentas Wacana yang membicarakan soal Kelonggaran Dua Dos Vaksin : Apa Kesan Pada Rakyat?
Katanya, banyak bukti saintifik yang dikemukakan oleh pakar kesihatan berkenaan dengan vaksin COVID-19.
“Pertamanya kita melihat mereka yang dijangkiti COVID-19 dan telah mendapat dua dos vaksin untuk mencapai tahap 4 dan 5 bilangan dari sudut peratusan sangat-sangat rendah. Kalau tidak salah saya, kurang daripada 100%.
“Bagi bilangan mereka yang sembuh dengan cepat, berdasarkan coretan daripada seorang doktor Pusat Perubatan Universiti Malaya bahawa mereka yang telah sempurna dua dos apabila perlukan oksigen cuma dua atau tiga hari berbanding dengan mereka yang tidak menerima vaksin, sampai dua tiga minggu dan boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau berkata, itu adalah bukti yang cukup kukuh yang menjelaskan betapa berkesannya vaksin.
Katanya, sekiranya tidak mengambil vaksin telah jelas dari sudut statistik dan saintifik bahawa apabila dijangkiti COVID-19 kesan pada kesihatan adalah lebih serius.
“Sebagai contoh, mereka yang ambil vaksin apabila mereka sembuh dan keluar hospital, paru-paru ‘clear’ tapi mereka yang tidak ambil vaksin walaupun sembuh paru-paru tidak sembuh sepenuhnya,” katanya.
Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu itu berkata, golongan anti-vaksin perlu menilai kembali pilihan mereka.
“Bagaimanapun saya tidak pelik jika golongan anti vaksin menolak perkara ini, kerana golongan yang mengatakan bumi itu datar juga masih ada.
“Walaupun dalam al-Quran dah menyebut, dan gambar sudah diambil dari satelit dan sebagainya, masih ada yang mengatakan bumi ini datar, jadi sampai bila-bila pun tak selesai.
“Saya cuma berharap sebahagian besar rakyat negara ini yakin dengan kebaikan vaksin dan mengambil suntikan itu,” katanya.