KUALA LUMPUR | “Alhamdulillah, hari ini Kuala Lumpur berjaya mencapai 85 peratus vaksinasi kepada penduduk dewasa.
“Kuala Lumpur mencapai tahap herd immunity (imuniti kelompok). Doakan keadaan wilayah kita bertambah baik. kita teruskan usaha bantu rakyat,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata demikian menerusi laman Twitternya di sini, hari ini.
Annuar turut berkongsi statistik pemberian vaksin di Wilayah Persekutuan hingga Sabtu, 14 Ogos yang dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Sehingga Sabtu, sebanyak 1.5 juta penduduk atau 85 peratus penduduk di Kuala Lumpur sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.
“Sebanyak 2.5 juta penduduk atau 144 peratus penduduk Kuala Lumpur sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19.
“Manakala, di Putrajaya, jumlah penduduk yang menerima vaksin COVID-19 bagi dos pertama ialah 120,984 orang atau 110 peratus,” katanya.
Beliau berkata, jumlah penduduk yang melengkapkan dua dos vaksin di Putrajaya ialah 81,543 individu atau 74 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 88,000 penduduk atau 80 peratus.
Katanya, di Labuan, 92 peratus atau 63,440 penduduk sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, manakala bagi dos pertama sebanyak 69,455 dos atau 101 peratus.