KOTA BHARU | Cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan (Unity Government) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan dan penerimaan yang lebih baik dari jangkaan.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, berdasarkan laporan, beberapa parti pembangkang sudahpun membincang perkara tersebut secara dalaman diperingkat tertinggi.
“Saya sudah mendengar berita yang positif ini dari sumber yang boleh dipercayai walaupun masih ada suara-suara pembangkang berteriak menolak Kerajaan Perpaduan ini.
“Mereka semua ini satu kelompok yang sebaris meletakkan kepentingan peribadi mendahului nasib rakyat mahu pun negara,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu berkata, mewujudkan kerajaan perpaduan adalah solusi tepat dan terbaik dalam meredakan kemelut politik negara sekarang.
Katanya rakyat kini sedang bergelut dengan pandemik, apakah tiada rasionalnya untuk gencatan politik.
“Tan Sri Muhyiddin sendiri telah menyatakan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan sebelum Julai 2022, kurang 12 bulan dari sekarang.
“Sisa waktu yang ada harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk memulihkan negara dan membawa rakyat keluar dari belenggu kesihatan serta memacu semula ekonomi negara yang kelihatan semakin pulih,” katanya.
Mohamed Farid berkata, tiada mana-mana gabungan parti yang mempunyai majoriti mudah di Parlimen sekarang.
Namun begitu katanya, Perikatan Nasional (PN) masih lagi mempunyai bilangan kerusi terbesar.
“Dalam semua yang berlumba merebut kuasa, maka wajarlah sekiranya PN membuat tawaran kepada pembangkang untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan ini.
“Tiada apa yang sumbang dalam langkah tersebut. Apa yang kita mahu hiraukan sangat tentang pembangkang yang lain kerana sifat dan watak mereka sudah jelas tanpa sekelumit rasa kasih sayang terhadap rakyat,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan dalam sehari dua ini maklum balas yang lebih rasmi boleh diterima mengenai cadangan Kerajaan Perpaduan ini.
Hal ini kerana, bibit-bibit penerimaan sudah ada dan semakin berbekas.
“Semuanya pasti akan menjadi lebih jelas dalam sehari dua nanti. Justeru, tiada keperluan kepada mana-mana pihak untuk terburu-buru membuat keputusan mahu pun kesimpulan.
“Sebaiknya, cadangan ini dibahas didalam Sidang Parlimen nanti bagi memutuskan sokongan mahu pun sebaliknya,” katanya.