KOTA BHARU | Masyarakat perlu merebut peluang dan menggunakan sebaik mungkin peluang menjana semula ekonomi secara kecil-kecilan dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan melibatkan penerima lengkap dua dos vaksin.
Itulah yang ditekankan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi semasa Pentas Wacana yang membicarakan soal Kelonggaran Dua Dos Vaksin : Apa Kesan Pada Rakyat?.
Turut bersama mengupas isu tersebut ialah, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariff Omar malam tadi.
Menyentuh isu itu, Mohamed Farid berkata, meskipun kelonggaran diberikan kerajaan ini amat dinanti-nantikan rakyat sejak sekian lama, namun yang lebih penting adalah pematuhan prosedur operasi stantand (SOP) perlu kekal dijadikan keutamaan.
Itu katanya, adalah bagi memastikan peluang yang diberikan kerajaan untuk menggerakkan semula ekonomi rakyat agar tidak terkurung kembali yang mana akhirnya akan merugikan rakyat sendiri.
Mengulangi kenyataan beliau sebelum ini, Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu itu juga menjelaskan, kerajaan sentiasa melihat dari sudut pembangunan ekonomi rakyat meskipun negara berada dalam situasi agak berat dalam menguruskan pandemik COVID-19.
Jelas beliau, kelonggaran ataupun pembukaan semula aktiviti di negeri Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 yang bersyarat itu sebenarnya sangat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
“Sebagai contoh di Kelantan katanya, banyak kegiatan ekonomi di negeri ini bersifat PKS. Kita juga tahu bahawa PKS ini adalah nadi negara sejumlah lebih 6.3 juta tenaga kerja di Malaysia terlibat secara langsung dalam sektor ini,” katanya.
Jumlah yang agak besar juga berada di negeri Kelantan, ujar beliau dan baginya juga itu adalah berita cukup baik apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti PKS dilakukan semula.
Sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan ada bantuan bakal diberikan kepada sektor PKS bagi meraih peluang yang ada apabila perniagaan dan aktiviti ekonomi dibuka semula termasuk sektor pelancongan.
“Ini sangat penting di Kelantan apabila kita harus faham kedudukan ekonomi yang kita ada sekarang ini kerana jurang kedudukan ekonomi yang ada antara Pantai Barat dan Pantai Timur sangat besar.
Mengulas lanjut, beliau berkata tekanan yang dihadapi oleh rakyat di Pantai Timur sangat tinggi apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan berbanding di Pantai Barat.
“Syukur Alhamdulillah di Kelantan kita berada dalam Fasa 2, jadi lebih banyak kegiatan ekonomi dapat dilaksanakan berbanding dengan Pantai Barat.
“Inilah peluang untuk negeri seperti Kelantan memulakan semula atau menjanakan semula aktiviti ekonomi agar kehidupan rakyat boleh bertambah baik, sumber pendapatan dapat diraih semula,” katanya.
Dalam masa sama dengan berlakunya ‘pergerakkan’ ekonomi itu aktiviti sosio ekonomi juga akan bertambah baik dan sekali gus akan memulihkan semangat dan mental rakyat yang dilihat tertekan dengan pandemik ini.
Sementara itu, menyokong pandangan diutarakan Mohamed Farid juga, rakan sepentas Dr Zainal berkata, dalam kegembiraan rakyat merebut peluang dihidangkan kerajaan buat masa ini, mereka harus kekal dengan mematuhi SOP.
Bagi beliau sebagai seorang yang arif dalam bidang perubatan, meskipun vaksin jalan terbaik untuk menangani pandemik COVID-19, namuan rakyat jangan alpa bahaya pencegahan daripada bermula daripada diri sendiri iaitu pematuhan terhadap SOP sangat penting.
Sangat mudah dan sememangnya sudah diamalkan selama ini, katanya terus memakai pelitup muka dan menjaga penjarakkan sosial supaya peluang menjana semula ekonomi di negeri Fasa 2 dapat berkembangan dengan baik.