by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Seorang wanita cedera selepas ditikam di bahagian paha dalam satu kejadian cubaan ragut di Jalan 10, Taman Greenwood, Gombak dekat sini, petang semalam.
Polis menerima aduan kejadian itu pada jam 4.24 petang daripada orang awam yang menemui seorang wanita dalam keadaan cedera akibat ditikam dalam sebuah kereta di lokasi terbabit.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata ketika kejadian, mangsa sedang memandu bersendirian menggunakan kereta milik abangnya.
“Ketika sampai di tempat kejadian, seorang lelaki membuka pintu kereta dan cuba melarikan beg milik mangsa.
“Suspek tidak berjaya melarikan beg berkenaan dan bertindak menikam paha kanan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak mampu memberi gambaran jelas mengenai lokasi kejadian sebenar kerana kecederaan yang dialaminya.
“Mangsa juga tidak dapat mengecam muka dan kenderaan digunakan suspek kerana masih dalam keadaan trauma.
“Selepas kejadian, mangsa sempat menghubungi abangnya menggunakan telefon memaklumkan ada lelaki yang tidak dapat dipastikan bangsanya membuka pintu kereta dan cuba mengambil begnya,” katanya.
Zainal Mohamed berkata, mangsa dikejarkan ke Bahagian Kecemasan Hospital Selayang dengan ambulans dan kini masih berada di Zon Merah, namun keadaannya dilaporkan stabil.
“Kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil untuk membantu siasatan polis.
“Maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Azrul Amirul Mustafa di talian 03-61262222,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera pada melakukan rompak yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.