By Nik Amir
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pelantikan Datuk Ab Ghani Hassan selaku presiden baharu organisasi pengendali liga bola sepak kebangsaan, pada hari ini.
Ab Ghani yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL dipilih menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang melepaskan jawatan, baru-baru ini.
Pelantikan itu dibuat menerusi persetujuan dalam mesyuarat khas selepas menerima surat peletakan jawatan daripada Hamidin bertarikh 12 Ogos lalu.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Joehari Ayub yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan secara dalam talian berkata, kesemua tujuh Ahli Lembaga Pengarah yang bersidang sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Ab Ghani.
Menurutnya, beliau bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL menghormati keputusan Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melepaskan jawatannya dan percaya Ab Ghani dapat mengisi kekosongan itu berdasarkan pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak.
“Hamidin telah mengotakan janjinya di mana beliau sendiri telah menyatakan untuk melepaskan jawatan Presiden MFL ketika berucap dalam Kongres FAM ke-57 pada Mac lalu.
“Kami barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL mengakui sedih dengan keputusan ini tetapi kita harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh beliau. Kami amat berterima kasih di atas segala sumbangan dan komitmen tinggi yang diberikan oleh Hamidin sepanjang menerajui MFL,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada hari ini.
Jelas Joehari, selepas mengadakan perbincangan, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan untuk memilih Ketua CEO MFL itu sebagai presiden baharu bagi menggantikan Hamidin.
“Pemilihan Ab Ghani sebagai presiden MFL baharu dilihat adalah satu langkah dinamik di mana beliau sendiri merupakan CEO MFL dan lebih arif dalam sistem pengurusan Liga Malaysia ini.
“Kami percaya bahawa Ab Ghani dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Hamidin untuk memacu MFL ke arah lebih cemerlang dan positif,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Hamidin dipilih sebagai Presiden MFL selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan selaku Pengerusi MFL pada September 2019.
Sepanjang menjadi Presiden MFL, beliau telah berjaya membawa masuk kembali penaja utama, Telekom Malaysia (TM) selain penaja baharu CIMB Bank yang julung kali menjadi penaja utama saingan Liga Super musim 2020 serta berusaha keras memastikan kelangsungan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 selepas kalendar liga musim lalu terpaksa dipendekkan akibat pandemik COVID-19.
Sementara itu, Ab Ghani telah bersama dalam pengurusan tertinggi MFL sejak 17 April 2019 setelah dipilih menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Beliau kemudian dilantik sebagai CEO MFL, pada 1 Mac tahun lalu di mana sebelum itu beliau hanya bertindak sebagai pemangku CEO secara sementara pada susulan peletakan jawatan Kevin Ramalingam, tiga bulan sebelum itu.
Ab Ghani yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan merupakan individu keempat yang dipilih sebagai Presiden MFL selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, Tunku Ismail dan Hamidin.
Dalam perkembangan sama, Joehari memaklumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah MFL akan mengumumkan calon CEO MFL baharu dalam tempoh terdekat.
“Buat masa ini, Ab Ghani akan memangku tugas CEO sementara waktu dan beliau akan mengumumkan pelantikan CEO MFL baharu pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL akan datang,” katanya.