KUALA LUMPUR | Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata, perjuangan melawan pandemik COVID-19 terus menjadi keutamaan semua.
“Satu penghargaan buat saya apabila diberikan tanggungjawab yang besar dalam situasi yang sukar ini.
“Terima kasih untuk semua saya ucapkan. Saya mohon maaf sekiranya ada kekhilafan sepanjang perkhidmatan.
“Sama-sama kita doakan Malaysia terus makmur, aman dan sentosa,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya di sini hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa hari ini.
Baginda berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yasin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ sebagai Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan jemaah Menteri.