KUALA LUMPUR | Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.
Perdan Menteri Sementara itu berkata, beliau boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsipnya untuk kekal sebagai Perdana Menteri namun itu bukan pilihannya.
“Sesungguhnya, jawatan yang telah saya pikul ini bukanlah suatu kemegahan. Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat.
“Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik.
“Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.
“Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat,” katanya dalam perutusan akhir yang disiarkan secara langsung, di sini, hari ini.
Baginya, beliau menganggap apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politiknya.
“Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya berjuang, berkorban, dan akhirnya Allah SWT mengangkat martabat perjuangan saya sehingga diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri.
“Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Tamat